Ahad, 24 April 2011

MTQSS Peringkat Negeri

25.04.2011 ( Isnin) - Pertandingan MTQSS Peringkat Negeri yang telah diadakan di Temerloh menyaksikan Adik Haikal Firdus dari SK. Kemahang telah mendapat Naib Johan bagi kategori Bercerita. Tahniah kepada adik Haikal kerana kesungguhan, keberanian dan keyakinan beliau dalam pertandingan yang penuh berprestij itu. Tahniah juga kepada Panitia Agama Islam, guru pembimbing, guru-guru lebih-lebih lagi Pn. Rashidah yang merupakan ibu beliau.

Penghargaan juga untuk unit Agama Islam PPD Lipis kerana begitu bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan. Semua pelajar yang terpilih mewakili Daerah Lipis ke Peringkat Negeri telah mengikuti Latihan Pusat selama 4 hari.

Semoga Daerah Lipis akan terus meningkat cemerlang dalam Pertandingan MTQSS pada tahun depan. Selamat majujaya.

Rabu, 13 April 2011

KEJOHANAN CATUR DAN MTQ DAERAH

14.04.2011 ( Khamis )- SK. Kemahang telah menghantar peserta ke Kejohanan Catur MSSD dan MTQ Daerah. Kejohanan Catur MSSD telah diadakan di SMK Benta selama dua hari berturut-turut. Seramai 4 orang peserta telah menyertai kejohanan ini . Keseluruhan jumlah peserta bagi kategori lelaki B12 tahun ialah seramai 80 orang. Peserta mengikuti 6 pusingan, 3 pusingan pada hari pertama 12.04.2011 dan 3 pusingan pada hari kedua 13.04.2011. Mohd. Azim telah menduduki tempat 9, Mohd. Fazrun tempat ke 11, Mohd. Afiq Haikal tempat ke 33 dan Rafid Kamal tempat ke41. Tahniah diucapkan kepada peserta catur dan GPK Kokurikulum SK. Kemahang. Bagi Pertandingan MTQ, Muhammad Afiq Haikal Mohd. Firdus telah berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori Bercerita Kisah-Kisah Al-Quran. Beliau akan mewakili daerah Lipis ke Peringkat Negeri yang akan diadakan di Temerloh. Tahniah kepada Muhammad Afiq Haikal dan Ustazah Rashidah yang juga ibunya selaku pembimbing sepenuh masa.

Ahad, 10 April 2011

SK. KEMAHANG AKTIF SERTAI KEGIATAN KO

11.04.2011 ( Isnin)- Tahun 2011, SK. Kemahang aktif menyertai kegiatan kokurikulum peringkat Zon. Antaranya Kejohanan Merentas Desa di SMK PGAS, Budu, menyertai Perkhemahan Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah di Pusat Ko Kg. Lalang, Kejohanan Bola sepak Bawah 12 Tahun di SK. Budu, Bola Baling di SK. Mela dan Catur di SMK Benta. Turut menyertai Kegiatan Kukoria antaranya Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu dan Sains di SK. Jeransang, Pertandingan MTQ di SK. Chat, Public Speaking dan Story Telling di SJKC Jerkoh. Menjadi penganjur bagi Kejohanan Olahraga MSSM Zon Benta yang telah disertai oleh lebih 10 buah sekolah. Penyertaan ini bertujuan memberi pendedahan kepada murid-murid kepada dunia luar serta menimbulkan semangat bersaing secara sihat antara satu sama lain.

Isnin, 4 Januari 2010

Selamat Datang dan Selamat Bertugas

Penasihat Pibg, ahli jawatankuasa Pibg dan ahli-ahli Pibg mengucapkan selamat datang kepada guru yang baru dilantik atau ditukarkan ke SK. Kemahang. Selamat datang juga kepada PT yang baru ditugaskan di SK. Kemahang. Selamat meneruskan tugas kepada semua guru-guru yang masih dikekalkan di SK. Kemahang. Sesungguhnya kami mengharapkan semoga SK. Kemahang akan sentiasa menuju ke arah kecemerlangan. Kami percaya dan penuh yakin dengan komitmen guru-guru di SK. Kemahang. Terima kasih di atas keikhlasan guru-guru sedia menabur bakti di tempat kami. Untuk mencapai kecemerlangan bukanlah perkara mudah. Semuanya perlu digerakkan dari awal lagi. Sokongan dan kerjasama pelbagai pihak perlu digembelingkan. Sokongan ibubapa amat kami perlukan. Kecemerlangan bermula dari rumah. Ibubapa perlu sentiasa memberikan motivasi untuk anak-anak minat belajar di rumah. Sediakan ruang untuk anak-anak belajar dirumah dengan selesa. Suasana kondusif di sekolah juga mampu meransang anak-anak untuk belajar. Guru-guru perlu mengubah cara belajar supaya murid-murid merasa seronok dan tiada sebarang tekanan. Cara belajar lama perlu diubah sesuai dengan perubahan masakini.

Akhirkata sekali lagi kami ingin mengucapkan selamat datang kepada yang baru datang dan selamat meneruskan khidmat bakti kepada yang sudah lama berkhidmat di SK. Kemahang. Kami sentiasa menghargai sokongan anda.

Rabu, 23 Disember 2009

Tahniah dan Ucapan Penghargaan

Saya selaku penasihat Pibg SK. Kemahang mengucapkan Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan, jutaan terima kasih kepada Saudara Mohd. Nizam B. Kamaruzaman kerana telah berjaya dalam urusan permohonan pertukarannya ke Wilayah Persekutuan Labuan Sabah. Saudara Nizam merupakan anak jati Kg. Kemahang, bekas murid dan bekas guru SK. Kemahang sebelum melanjutkan pengajian dan dinaikan pangkat mengajar di SMK Panglima Garang Abdul Samad, Budu.

Saudara Nizam merupakan Pengerusi Pibg SK. Kemahang. Biarpun kesibukan dengan tugasnya sebagai guru, beliau sering memberi ruang, kerjasama dan sokongan kepada setiap program Pibg dan aktiviti yang dijalankan di SK. Kemahang. Sebagai seorang bekas guru di sekolah ini beliau mempunyai banyak pengalaman dan faham dengan selok-belok persekolahan dan faham dengan kehendak masyarakat setempat.

Kami warga pendidik dan Pibg merasakan satu kehilangan besar, tetapi tetap berdoa dan berharap semoga Saudara Nizam meneruskan kecemerlangan di tempat baru. Semoga Saudara Nizam seisi keluarga akan terus dirahmati Allah s.w.t dapat meneruskan khidmat walau dimana sekalipun. Kami masih memerlukan sokongan daripada Saudara Nizam walaupun berjauhan.

Selamat majujaya suadara Nizam.

Selasa, 15 Disember 2009

Perlawanan Bolasepak Persahabatan

Kepada semua bekas pelajar SK. Kemahang lelaki berusia 40an ke atas pada 1 Januari 2009. Sila daftarkan diri sekiranya berminat untuk bermain bolasepak persahabatan dengan pasukan guru-guru dan staf SK. Kemahang. Tarikh dan masa perlawanan akan dimaklukan kemudian. Sebarang pertanyaan sila hubungi setiausaha Pibg SK. Kemahang melaui HP: 017-2882526 atau Penasihat Pibg HP: 014-2932108. Tempat perlawanan ialah di padang Awam Kg. Kemahang.

Terima kasih.

Ahad, 13 Disember 2009

Mesyuarat AJK Pibg Ke-2

Mesyuarat AJK Pibg Ke-2
11.12.2009
9.00pagi
Bilik Makmal Komputer

Mesyuarat AJK Pibg Kali Ke-2 telah diadakan di Bilik Makmal Komputer pada 11.12.2009 lalu. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk membincangkan beberapa aktiviti Pibg akan datang serta kata sepakat tentang jumlah bayaran Yuran Tambahan Tahun 2010.

Mesyuarat telah bersetuju sebulat suara bahawa jumlah bayaran Yuran Tambahan Tahun 2010 sebanyak RM32.50. Satu jumlah yang tidak membebankan ibubapa dan penjaga. Mesyuarat juga telah bercadang untuk memajukan kawasan tanah terbiar dengan tanaman kelapa sawit.

Mohon kerjasama dan sokongan daripada kontoraktor yang berjaya membantu usaha murni Pibg ini dengan menyediakan mesin jentolak untuk meratakan tanah terbiar itu dan menyediakan teres bagi tujuan tersebut. Projek tanaman sawit di kawasan tanah terbiar ini dijangka akan menghasilkan pulangan lumayan dan dijadikan dana Pibg.

Dengan adanya dana tersebut Pibg mampu membantu urusan aktiviti sekolah yang memerlukan perbelanjaan. Antaranya perbelanjaan untuk mengadakan kelas bimbingan UPSR, membeli buku-buku kerja murid, perbelanjaan sukan tahunan serta aktiviti-aktiviti kebajikan.

Penasihat Pibg selaku Guru Besar SK. Kemahang sekarang turut mencadangkan supaya Pibg menyediakan satu Laman Blog khas untuk mengesan bekas-bekas pelajar SK. Kemahang yang telah keluar ke merata daerah dan negeri. Ramai dikalangan bekas pelajar yang telah berjaya menjawat jawatan tinggi di agensi kerajaan, korporat, ahli politik, bidang perniagaan, golongan profesional, kontraktor, agensi swasta, bekerja sendiri dan sebagainya. Semua golongan ini diperlukan untuk membantu Pibg SK. Kemahang.

Semoga dengan adanya usaha-usaha sebegini dapat membantu sekolah ini ke arah kecemerlangan. Untuk mencemerlangkan insan bukanlah satu perkara mudah. Kerjasama serta sokongan perlu dipertingkatkan. Ibubapa juga ada peranannya tersendiri. Perlu memahami tugas guru di sekolah bukan saja mengajar dan mendidik. Malah guru turut diberi tanggungjawab melaksanakan tugas-tugas sampingan lain.

Kepada bekas-bekas pelajar yang ingin memberikan sumbangan iklas samada dalam bentuk kewangan, material, cadangan dan buah fikiran. Anda semua dialu-alukan. Sumbangan dalam bentuk kewangan boleh terus disalukan kepada:

Bendahari Pibg
SK. Kemahang
27310 Benta
PAHANG DARUL MAKMUR.